Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diiringi pegawai SPRM dan anggota polis ketika hadir untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 JULAI 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diiringi pegawai SPRM dan anggota polis ketika hadir untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan kontroversi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini didakwa di Mahkamah Seksyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kesemua pertuduhan ke atas Najib, 65, dibaca di di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh Najib kerana kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara, Tommy Thomas yang tampil buat pertama kali mengendalikan kes pendakwaan di mahkamah sejak dilantik memegang jawatan itu pada bulan lalu mengetuai pasukan pendakwaan yang turut dianggotai enam timbalan pendakwa raya.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya terlibat adalah Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd. Yusof, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimo, Budiman Lugti Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Asrol Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mengetuai pasukan pembelaan yang dibantu oleh lima peguam Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee.

Pada Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Pasukan petugas itu dianggotai oleh wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

Selain Gani, pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Rentetan itu, Najib hadir memberi keterangan kepada SPRM selama dua hari berturut-turut pada 23 dan 24 Mei lalu.

Pada 5 Jun lalu, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, pula memberi keterangan selama tiga jam berhubung siasatan berkenaan di tempat sama, kira-kira pukul 3.45 petang. – MalaysiaGazette