Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018.
Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Mohd Asmirul Anuar Aris berkata Mukhriz menerima pencalonan terbanyak dan sekali gus menang tanpa bertanding setelah pencalonan bagi jawatankuasa persatuan itu ditutup.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Abd Rahman Abdullah pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

Bagaimanapun katanya keputusan penuh pemilihan bagi jawatankuasa baharu itu yang turut menyaksikan pertandingan lebih lima penjuru bagi jawatan naib presiden hanya akan diumumkan pada mesyuarat pemilihan pada Khamis depan.

“Selepas itu daripada pengurusan baharu ini barulah kami akan buat penstrukturan semula KFA dengan menambah baik pengurusan persatuan,” katanya. – BERNAMA