Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan keluar selepas mepengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2018
Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tiada unsur balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Demikian menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa yang menuduh kerajaan PH cuba membalas dendam terhadap bapanya.

“Kita nak balas dendam buat apa. Yang dia buat dulu kita tak persoalkan.

“Semua kawan-kawan saya dihalau tak bagi berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan. Kita tak persoalkan,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Mahathir sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan.

Malah Mahathir turut mencabar keluarga Najib untuk mengemukakan dakwaan di mahkamah sekiranya tindakan SPRM membekukan akaun keluarga adalah salah di sisi undang-undang.

“Kalau dia kata ini salah, you can take it to the court (mereka boleh bawa isu ini ke Mahkamah),” katanya lagi.

Dalam satu laporan semalam, Nooryana menyifatkan pembekuan akaun peribadi keluarganya sebagai dendam kerajaan PH terhadap keluarga Najib.

Dalam pada itu, Nooryana mendakwa akaun bank peribadinya dibekukan selepas membayar ikat jamin bapanya.

Dalam satu catatan di Facebook, Nooryana berkata dia dimaklumkan oleh pihak bank yang ia menerima arahan untuk membekukan akaun peribadinya, yang antara lain digunakan untuk membayar yuran persekolahan.

“Apakah kerajaan ini terlalu berdendam hingga mereka mahu menghapuskan seluruh keluarga saya?

“Apa kaitan duit simpanan bayi saya dengan 1MDB? Apakah ini Malaysia baru yang kita doakan itu?

Mahkamah Tinggi kelmarin menetapkan ikat jamin RM1 juta ke atas Najib yang berdepan 4 pertuduhan yang berkaitan dengan RM42 juta yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.

Beliau juga mendakwa akaun bank anak lelakinya yang berusia 10 bulan juga dibekukan.

Mahkamah membenarkan Najib membayar RM500,000 hari ini dan bakinya perlu diselesaikan menjelang 3.00 petang pada Isnin. -MalaysiaGazette