Datuk Lokman Noor Adam.
Datuk Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR – Jutaan rakyat Malaysia terkejut kerana apabila Datuk Seri Najib Razak didakwa bukan atas kesalahan ‘mencuri’ duit 1MDB.

Sebaliknya, antara pendakwaan yang dibuat terhadap beliau adalah akibat dari tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International yang telah mendeposit sumbangan CSR SRC International ke dalam akaun amanah UMNO atas nama Najib selaku Presiden UMNO dan Pemegang Amanah UMNO.

“Saya juga difahamkan bahawa akaun ini diselenggara oleh Nik Faisal Ariff Kamil dan bukan Najib,” ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurut beliau, Peguam Negara, Tommy Thomas juga mengesahkan bahawa tiada pertuduhan lain akan dibuat keatas Najib selain SRC.

“Ini jelas membuktikan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) telah memfitnah ketua kerajaan sebelum ini selama tiga tahun berturut-turut sehingga ianya mewujudkan persepsi yang sangat buruk kepada pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Akibat daripada fitnah dan pembohongan Mahathir, kerajaan BN telah ditolak oleh sebahagian besar dari rakyat Malaysia yang mempercayai pembohongan ini dalam PRU-14,” katanya yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, menurut Lokman, satu laporan polis akan dibuat pihaknya malam ini di Ibupejabat Polis Dang Wangi ke atas Perdana Menteri.

“Semenjak tiga tahun lalu, antara 2015-2018, Mahathir telah memfitnah Najib di pentas-pentas ceramah, wawancara televisyen tempatan, antarabangsa dan media sosial serta penulisan beliau bahawa Najib telah mencuri duit RM2.6 bilion daripada 1MDB.

“Jutaan rakyat Malaysia telah mempercayai fitnah ini dan mengambil keputusan mengundi PH dalam PRU-14,” katanya lagi.

Memandangkan kerajaan PH dibentuk berdasarkan fitnah dan pembohongan, pihaknya untuk meminta pihak polis bagi menyiasat sama ada kerajaan yang didirikan berteraskan fitnah dan pembohongan yang didakwanya itu sah mengikut undang-undang.

“Saya yakin ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh Mahathir yang turut mahu melihat Parlimen dibubarkan dan pilihanraya semula diadakan bagi membolehkan rakyat membuat keputusan yang betul selepas mengetahui perkara sebenar,” jelasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. umno dulu merintah atas dasar apa . tak cukup hadiah buat lagi gst . nak bayar hutang hasil tipu dan curi . masih nak tipu rakyat lagi . dulu pegang undang² sendiri bolih lah .sekarang lompat lah setinggi mana pun undang² menanti . tunggulah . kalau tak bersalah apa nak takut .

Comments are closed.