Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq merasmikan majlis penutup dan penyampaian pingat Kejohanan Taekwando Remaja Nestlé Koko Krunch di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq merasmikan majlis penutup dan penyampaian pingat Kejohanan Taekwando Remaja Nestlé Koko Krunch di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi menegaskan tiada pelantikan rasmi dibuat bagi jawatan pegawai khas di pejabatnya.

Bagaimanapun buat masa ini beliau mengakui terdapat beberapa kawan yang membantu beliau menguruskan tugasan harian.

“Saya sangat pasti tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen (pelantikan pegawai khas) dan tiada mana-mana individu telah dilantik secara rasmi.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya mengambil sedikit masa untuk mendapatkan pasukan terbaik dan mengenai pelantikan rasmi pegawai khas rasanya ia dapat dilaksanakan dalam masa satu minggu lagi,” katanya sambil meminta pihak yang tidak berpuas hati untuk membuat semakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang bertanggung jawab di dalam urusan pelantikan rasmi kakitangan kerajaan.

Semalam tular di media-media sosial apabila penganjur majlis berbuka puasa gay, Numan Afifi telah dilantik sebagai pegawai khas Menteri Belia dan Sukan itu.

Numan juga dikatakan telah membuka satu kumpulan Whatsapp untuk petugas media bagi memudahkan urusan penyebaran maklumat kepada pemberita mengenai aktiviti Syed Saddiq dan kementerian.

Syed Saddiq bagaimanapun di dalam hantaran ke instagramnya malam tadi menafikan telah melantik mana-mana individu secara rasmi sebagai pegawai khas beliau.

Ketika ditanya mengenai carian netizen yang menemui alamat emel Numan di laman web Kementerian Belia dan Sukan, Syed Saddiq berkata, beliau akan menyiasat perkara tersebut sekali lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq merasmikan majlis penutup dan penyampaian pingat Kejohanan Taekwando Remaja Nestlé Koko Krunch di sini hari ini. -MalaysiaGazette