Ibuyati menunjukkan muka surat 58 bukunya, SRC tidak termasuk dalam 27 syarikat yang menerima wang 1MDB yang diselewengkan.
Ibuyati menunjukkan muka surat 58 bukunya, SRC tidak termasuk dalam 27 syarikat yang menerima wang 1MDB yang diselewengkan.

KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini tidak ada kaitannya dengan siasatan mengenai skandal 1MDB.

Ia juga tidak ada kena mengena dengan wang RM2.6 bilion atau dakwaan beliau ‘menyamun’ derma RM2.6B dari anak raja Arab.

Demikian dinyatakan oleh penulis buku Analisis Kewartawanan Saman DOJ: 1MDB Fakta Atau Fitnah?, Ibuyati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias.

Ibuyati yang juga Tokoh Wartawan Rakyat itu mengesahkan perkara itu berdasarkan maklumat daripada saman DOJ yang dianalisisnya.

Menurutnya, ada 27 buah syarikat yang didakwa menerima wang 1MDB yang diselewengkan dan Syarikat SRC International tidak termasuk dalamnya.

SRC juga tidak termasuk dalam 33 syarikat yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Jika SRC salah satu yang terlibat saya amat berbesar hati jika pihak berkenaan dapat memberikan maklumatnya kepada saya supaya buku ini boleh saya kemaskini,” ujarnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Dalam muka surat 27 bukunya itu, Ibuyati telah menyenaraikan sebanyak 27 syarikat yang menerima duit 1MDB berjumlah USD11,017,828,233 atau kira-kira bersamaan dengan RM42 bilion dan kesemua fakta itu disahkan oleh FBI.

WhatsApp Image 2018-07-07 at 13.12.23
Ibuyati bersama buku tulisannya, Analisis Kewartawanan Saman DOJ: 1MDB Fakta Atau Fitnah.

Sementara itu, penganalisis bebas, Abdul Hamid Yeop Zainuddin bersetuju denga Ibuyati dan menasihatkan semua pihak, terutamanya media supaya tidak mengelirukan dan memberi persepsi yang salah.

“Walau dalam apa keadaan sekali pun, fakta kebenaran mesti dipertahankan dan didedahkan jika tidak tiadalah keadilan dan ketelusan.

“Semua pihak mestilah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Hasutan dan fitnah terutamanya untuk mengelirukan orang awam oleh sesiapa sahaja mestilah dielakkan termasuklah oleh pemimpin UMNO dan penyokong Najib,” katanya.

MGF30062018_Temubual Eksklusif_07
Penganalisis bebas, Abdul Hamid Bin Yeop Zainuddin.

Hamid dalam masa yang sama menjelaskan, ketika ini terdapat lima kes besar yang berbeza dan mestilah dibezakan jangan dicampuradukkan dan mengelirukan orang ramai.

Pertama, katanya, dakwaan mengenai penyelewengan wang 1MDB (dan wang kerajaan Malaysia) termasuk yang berjumlah RM42 bilion tetapi bukan kes ini yang ‘dimahukan’ ramai dan ini tidak ada kaitan dengan tangkapan terhadap bekas perdana menteri itu baru-baru ini.

Kedua dakwaan mengenai RM2.6 bilion derma anak raja Arab kepada Najib dan ia juga tidak ada kaitan dengan tangkapan terhadap Najib, katanya.

“Ketiga dakwaan mengenai RM2.6 bilion duit 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan ini juga tidak ada kaitan dengan tangkapan terhadapnya.

“Keempat mengenai rampasan berjumlah lebih RM1 trilion dari premis yang dikaitkan dengan Najib dan ini juga tidak ada kaitan dengan tangkapan terhadap Najib dan dipercayai siasatan mengenai keempat-empat kes itu sedang berjalan dan benarkanlah pihak berkenaan melaksanakanhya tanpa gangguan.

“Kelima, adalah dakwaan mengenai penyelewengan wang syarikat SRC International dan inilah kes yang dikaitkan dengan tangkapan Najib, bukan keempat-empat kes terbabit,” jelasnya lagi.

Abdul Hamid memberitahu, polis pun telah mengesahkan bahawa tangkapan dan pendakwaan terhadap Najib adalah berkaitan dengan kes RM42 juta wang SRC dan bukan 1MDB jauh sekali mengenai RM2.6 bilion.

“Maka adalah tidak wajar mana-mana pihak mempersoalkan kenapakah Najib tidak didakwa mengenai 1MDB sebagaimana yang dilaporkan media,” katanya.

Mengulas mengenainya, Hamid berkata; “Jawapan bodoh saya ialah kerana mereka tidak tahu dan tidak faham. Sebab siasatan empat kes itu tidak selesai lagi. Siasatan mesti diselesaikan terlebih dahulu. Sudah selesai dibuat laporan.

“Sudah hantar laporan ke pejabat Peguam Negara baru boleh dikeluarkan arahan tangkap dan didakwa di mahkamah.

“Kalau tak selesai siasat lagi, macamana nak didakwa dimahkamah? Mungkin siasatan kes RM42 juta wang SRC ini telah lengkap dan cukup untuk didakwa maka didakwalah,” katanya sambil menambah pemimpin politik dari UMNO yang membuat kenyataan tanpa fakta hanya akan membuatkan lebih ramai rakyat meluat dengan parti berkenaan.- MalaysiaGazette

 

1MDB: Najib Sepatutnya Yang Terakhir Disiasat?