KUALA LUMPUR – Tujuh jenis ubat Valsartan yang berkaitan dengan tekanan darah adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Lantaran itu, produk-produk tersebut sepatutnya tiada dalam pasaran dan tidak boleh digunakan di Malaysia.

Produk-produk itu ialah Valsartan 40mg Capsule, Hard Dexcel Pharma Limited, Valsartan 80mg Capsule, HardDexcel Pharma Limited, Valsartan 160mg Capsule, Hard Dexcel Pharma Limited, Valsartan 40mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF, Valsartan 80mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF, Valsartan 160mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF dan Valsartan 320mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF.

Kesemua produk di atas telah ditarik balik dalam pasaran di United Kingdom pada 5 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu sentiasa mengambil berat akan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran.

Pengawasan mutu produk farmaseutikal yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk tersebut benar-benar selamat.

Semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi dengan label hologram.

Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di telefon pintar masing-masing, katanya dalam satu kenyataan

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar PBKD dan boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang NPRA di www.npra.moh.gov.my atau menghubungi pihak NPRA di talian 03-78835560 / 61 / 62 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

Semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi dengan label hologram. Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di telefon pintar masing-masing. – MalaysiaGazette