Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan para penyokong yang hadir selepas menandatangani dokumen pembayaran ikat jamin sebanyak RM500,000 terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemberian sumbangan daripada pemimpin dan ahli UMNO untuk membiayai wang ikat jaminnya hari ini sebagai tanda kasih sayang rakyat kepada pemimpinnya.

Najib juga melahirkan rasa terharu dan berterima kasih di atas setiap sumbangan yang diberikan oleh ahli UMNO di setiap peringkat kerana ia amat bermakna kepada beliau sekeluarga.

“Ini semua menandakan bahawa ahli-ahli UMNO dan rakyat biasa menunjukkan kasih sayangnya kepada pemimpin.

“Mudah-mudahan dengan doa restu mereka semua, saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini Insya-Allah dengan jayanya dengan izin Allah SWT.
“Saya rasa amat terharu di atas sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli UMNO dari semua peringkat dari ketua bahagian hingga kepada ahli-ahli biasa,” katanya pada sidang media selepas urusan ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, anak bekas Perdana Menteri, Ashaman telah membuat pembayaran wang ikat jamin ke atas bapanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini susulan empat pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bayaran wang ikat jamin Najib pada hari ini merupakan ansuran kedua sebanyak RM500,000 daripada RM1juta seperti mana yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Soffian Abdul Razak pada Jumaat lalu.

Najib selaku Ahli Parlimen Pekan juga berkata, sumbangan itu juga datang daripada kesedaran dan keikhlasan ahli dan pemimpin UMNO sendiri malah jauh sekali sebagai arahan untuk membantu belia dan keluarga.

“Inilah satu sumbangan yang sangat bermakna kepada saya dan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kerana sumbangan ini tidak boleh dirancang, tak boleh dibuat sebagai satu arahan, ia datang, ia terbit daripada hati nurani yang ikhlas.

“Iilah sumbangan yang paling bermakna sekali kerana ia datang daripada hati yang ikhlas daripada setiap ahli UMNO yang ingin menyumbang membantu saya (ikat jamin).

“Terima kasih sekali lagi mudah-mudahan Allah akan melindungi kita dan beri petunjuk dan rahmat kepada saya seisi keluarga, UMNO dan seluruhnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Sekretariat Tabung Solidariti Datuk Seri Najib, Datuk Razlan Mohd Rafii menyerahkan sumbangan berjumlah RM489,166 kepada bekas Presiden UMNO itu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Jumaat lepas, Hakim Mohd Soffian menetapkan ikat jamin sebanyak RM1juta ke atas kesemua empat pertuduhan itu dengan dua orang penjamin, iaitu anak Najib sendiri iaitu Nooryana Najwa dan Ashaman.

Hakim Mohd Soffian juga membenarkan permohonan peguam bela Najib, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah untuk membayar wang jaminan secara ansuran dua kali, masing-masing RM500,000 pada Jumaat lalu dan bakinya sebelum jam 3 petang, pada 9 Julai ini. – MalaysiaGazette