Luis Enrique
Luis Enrique akan diperkenalkan secara rasmi pengurus baharu Sepanyol minggu depan

MADRID – Luis Enrique telah dilantik sebagai pengurus baharu Sepanyol berkuatkuasa serta merta.

Bekas jurulatih Barcelona itu akan menerajui skuad kebangsaan La Roja ke arah era baharu selepas mengharungi kempen Piala Dunia 2018 yang hambar di Rusia.

Enrique menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan menggalas tugas menstabilkan pasukan yang parah.

Julen Lopetegui yang membimbing skuad kebangsaan telah dipecat pada 12 Jun lalu oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales.

Lopetegui dipecat atas kesalahan mengambil tugas Jurulatih Real Madrid tanpa memaklumkan kakitangannya di skuad kebangsaan serta FA Sepanyol.

Rentetan itu, Fernando Hierro dilantik sebagai pengurus sementara semasa kempen piala dunia yang berakhir dengan penyingkiran awal pusingan kalah mati kepada tuan rumah Rusia.

Enrique dijangka merombak semula nasib skuad Sepanyol yang mana kebanyakan pemain kebangsaan itu sedang beraksi di bawah kontinjen Barcelona sejak 2014 hingga sekarang.

Pengurus berusia 48 tahun itu menang dua gelaran La Liga, Liga Juara-Juara Eropah dan Copa del Rey bersama the Catalan sebelum berundur tahun lalu.

Sebagai bekas pemain Sepanyol, Enrique melakukan 62 penampilan bersama Sepanyol, tiga temasya Piala Dunia dan menang emas pada Olimpik 1992.

Upacara rasmi memperkenalkan Enrique sebagai pengurus baharu Sepanyol dijangkakan minggu hadapan.

“Kami tidak mendedahkan kepada sesiapa kecuali Enrique mengenai pelantikannya.

“Saya suka kesungguhan dan sikap komited yang ditunjukkan Enrique,” kata Rubiales.- MalaysiaGazette