Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Bilangan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) meningkat di negara ini apabila sebanyak 27,296 kes dilaporkan sehingga Jun lalu.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini berkata angka itu tinggi berbanding hanya 21, 303 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun 2017.

“Ia menunjukkan peningkatan 28 peratus dalam kes HFMD yang direkodkan kementerian kesihatan.

“Manakala bilangan kes HFMD di 12 negeri telah melepasi paras amaran kecuali Johor, Sabah dan Sarawak,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima tahun kebelakangan ini dan nilainya berbeza-beza mengikut bilangan kes di setiap negeri.

Menurut beliau, penyakit HFMD mudah berjangkit pada orang lain terutama kanak-kanak di premis tempat tumpuan seperti Taska dan tadika.

“Ianya disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

“Virus berkenaan merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis kes.

“Kebiasaannya jangkitannya ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit berkenaan pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hari ke 10,” ujar beliau.

Bagaimanapun tegas beliau, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis dan tiada ubat atau vaksin untuk pencegahan terhadap jangkitan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar beliau di seluruh negara sebanyak 341 buah taska, tadika atau Tabika serta prasekolah telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka iaitu 50 peratus daripada jumlah wabak pada tahun ini.

“Survelan virus HFMD mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak Mac 2018. Sebagai langkah menghalang HFMD, KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska supaya sentiasa menjaga kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan kanak-kanak dengan membrsih dan menyahkuman meja kerusi serta alat permainan.

“Membuat saringan di pintu masuk mengelak kanak kanak tiada tanda jangkitan dan dinasihatkan tidak hadir ke sekolah jika berjangkit.

“Selain itu menjaga kebersihan tandas dan sentiasa menggunaka larutan klorin.

“Pada masa sama ibu bapa kepada kanak-kanak ada tanda jangkitan HFMD supaya meningkatkan kesedaran mengenalpastiĀ  tanda tanda penyakit dan mencuci tangan sebelum menyentuh kanak-kanak lain,” tegasnya.- MalaysiaGazette