Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan kali kedua berhubung siasatan kes SRC International Sdn. Bhd di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baharu menyedari ada sebuah lagi akaun banknya telah dibekukan sejak minggu lepas.

Jelas beliau, akaun bank tersebut tidak digunakan untuk membuat sebarang transaksi dan selama ini ianya hanya menerima bayaran gaji beliau sebagai ahli Parlimen dan bekas Menteri Besar Pahang sahaja.

Menurut Najib, beliau hanya menyedari akaun tersebut dibekukan apabila sekeping cek yang dikeluarkan untuk membayar rawatan anak perempuannya tidak dapat ditunaikan.

“Perbuatan yang dilakukan oleh agensi berkenaan adalah tidak wajar dan pembekuan akaun saya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kecewa dengan tindakan draconian kerajaan pada hari ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini.

Menurut Najib, pagi tadi beliau diberitahu akaun anak-anaknya telah aktif semula dan menyifatkan tindakan membekukan akaun tersebut dilakukan tanpa asas.

Katanya, beliau seharusnya dilayan seperti rakyat yang lain sehingga perbicaraan mengenai kesnya selesai dan meminta semua pihak berkenaan mematuhi undang-undang yang adil.

Tambah beliau, walaupun telah mematuhi semua peraturan, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba bermain politik kotor dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap reputasi beliau dan caranya mentadbir kerajaan.

“Pelbagai tuduhan telah dibuat kepada saya tetapi orang yang mempunyai akal yang sihat dan pemikiran yang rasional pasti mengetahui bahawa semua itu hanyalah sebuah cerita yang tidak berasas (direka) kerana mereka tidak mempunyai bukti (terhadap tuduhan tersebut),” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan haknya sebagai seorang rakyat Malaysia yang masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Mengapa kebebasan saya disekat sedangkan mahkamah telah pun memberi jaminan sebelum perbicaraan saya dimulakan. Malah saya mematuhi semua syarat ikat jamin tersebut?” soalnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cakap banyak pulak dia ni. Eloknya ari tu tak payah offer jamin, terus remand je, baru dia ada akal.

Comments are closed.