KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan bagi bulan Mei 2018 mencatatkan peningkatan 5.5 peratus dengan nilai jualan RM65.3 bilion berbanding RM61.9 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Tahun ke tahun, peningkatan nilai jualan pada bulan Mei 2018 adalah didorong oleh peningkatan dalam produk peralatan elektrik dan elektronik (7.5%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.8%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.3%).
Ketua Perangkawaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Mei 2018 adalah seramai 1,070,000 orang, meningkat sebanyak 1.7 peratus atau 18,077 orang berbanding 1,051,923 orang pada Mei 2017.
Jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 10.0 peratus (RM346.8 juta) kepada RM3,811.0 juta, sekaligus mencatatkan purata gaji & upah setiap pekerja sebanyak RM3,562 pada Mei 2018.
Nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM61,071 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette