Dong Zong

KUALA LUMPUR – Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Jaringan Ibubapa Pencinta Pendidikan Bahasa Zhong Hua (Jia Zong) hari ini menafikan dakwaan sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan diambil dari Taiwan.

Sebaliknya kata kedua-dua persatuan tersebut, setiap mata pelajaran UEC mengikut standard kurikulum dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia .

“Berkenaan dakwaan sesetengah pihak bahawa sukatan pelajaran UEC diambil dari Taiwan kami ingin menyatakan secara jelas bahawa dakwaan ini adalah tidak benar.

“Pada halnya sukatan pelajaran UEC mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan.

“Sebagai contoh mata pelajaran Sejarah UEC mengandungi 57,36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia, ini bermakna lebih daripada separuh isi kandungan mata pelajaran Sejarah yang dipelajari oleh pelajar-pelajar UEC ialah sejarah Malaysia,” kata kedua-dua persatuan itu menerusi kenyataan bersama hari ini.

Tambah kedua-dua persatuan tersebut, Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib bagi pelajar UEC.

“Pada halnya Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar UEC, bahkan semua Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) turut menubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk menggalakkan pembelajaran dan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar,” jelas mereka.

Justeru itu, mereka berpendirian bahawa pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dipolitikkan.

Terbaru, kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mahu mengiktiraf UEC disifatkan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan 300 NGO Islam sebagao angkuh dan sombong.

Mereka turut menyifatkan Menteri Pendidikan itu ‘terikat’ dengan dengan telunjuk dan desakan keputusan daripada pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).-MalaysiaGazette