Foto Instagram Norman Hakim.
Foto Instagram Norman Hakim.

KUALA LUMPUR – Hasrat pelakon Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza memiliki anak perempuan akhirnya tercapai semalam.

Memey selamat melahirkan anak ketiga mereka secara normal dengan berat 3.35 kilogram kira-kira pukul 12.52 petang .

Pasangan itu sudah mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.

Menerusi perkahwinan terdahulu dengan aktres Abby Abadi, Norman memiliki tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Sementara itu, Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 42, dan isterinya, Memey Suhaiza, 30, terus mengumumkan nama Mikayla Delisha Hakim untuk bayi berkenaan.

Menerusi kapsyen di foto tersebut, Norman juga memberitahu setiap nama yang dipilih itu mempunyai maksud tersendiri.

“Assalamulaikum. Hi, salam Jumaat semua. Papa dan mummy dah bagi kita nama tau. Nama kita kan, dengan izin Allah, nama kita Mikayla Delisha Hakim.

“Papa, mummy cakap maksud nama kita tu, Mikayla: Pemberian Allah, Delisha: Gembira dan membuat orang lain gembira dan Hakim: Arif Bijaksana.

“Ingat nama kita dalam doa-doa atuk, nenek, makcik, akak abang semua (pengikut di laman sosial),” tulis Norman pada Jumaat.

Selain itu, Norman juga telah membuka akaun laman sosial bayinya bernama @mikayladelishahakim.

“Ikuti akaun Instagram kita yang mummy dan papa buatkan kat @mikayladelishahakim, okey.

“Terima kasih. Sayang semua,” katanya. – MalaysiaGazette