Seorang pengasuh dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas dakwaan menganiaya bayi berusia 5 bulan sehingga menyebabkan kematian pada 3 Julai lalu. - foto: AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2018.
Seorang pengasuh dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas dakwaan menganiaya bayi berusia 5 bulan sehingga menyebabkan kematian pada 3 Julai lalu. - foto: AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas dakwaan menganiaya bayi berusia 5 bulan sehingga menyebabkan kematian pada 3 Julai lalu.

Noor Aqilah Abd Rahman, 33, didakwa dua pertuduhan dalam kes kematian bayi itu.

Bagi pertuduhan pertama, Noor Aqilah didakwa menganiaya  Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif sehingga menyebabkan kecederaan di kepala pada 3 Julai lalu diantara Jam 6.20 petang hingga 6.50 petang di 8930B Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves,Gombak

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dituduh melupuskan mayat Adam Rayqal untuk menyembunyikan kematian mangsa pada waktu dan tempat yang sama dan menyebabkan dirinya terlepas daripada hukuman.

Noor Aqilah didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum ini, Noor Aqilah bersama seorang wanita direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh Adam Rayqal selepas bayi itu dilapotkan hilang dari rumah pengasuhnya.

Mayatnya ditemui polis di dalam peti ais rumah pengasuh berkenaan pada hari kejadian.

Noor Aqilah bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk kedua dua pertuduhan itu dan mohon dibicarakan setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Syafeera Mohd Said.

Tertuduh diwakili peguambela, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff dan Dinesh Muthal manakala pendakwaan dilakukan Timbalan pendakwaraya, M.S Arunjothy dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ashvini Thinakaran.

Arunjothy meminta mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin memandangkan kes itu menarik perhatian orang ramai.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan memberitahu mahkamah bahawa  tertuduh belum berkahwin dan sakit asma manakala salah seorang anak angkat di bawah jagaannya adalah orang kelainan upaya.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungjawab menjaga dan menanggung perbelanjaan kewangan ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan darah tinggi dan komplikasi jantung.

“Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai tukang masak sebelum berhenti dan fokus sepenuhnya mengasuh kanak kanak, maka merayu supaya dibenarkan jamin yang minimum,” katanya.

Sementara itu, Arunjothy meminta mahkamah menetapkan syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh harus melapor diri di balai polis dan wang jaminan maksimum dikenakan sekiranya dibenarkan ikat jamin.

Hakim Syafeera membenarkan Noor Aqilah diikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin dan dia dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan 15 haribulan.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – MalaysiaGazette