KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa tidak perlu berbelit menegakkan benang basah bagi mempertahankan pandangannya yang silap mengenai konsep menjaga agama sebagai tanggungjawab pemerintah dalam Islam.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, menjaga agama dalam Islam adalah merujuk kepada menjaga agama Islam, bukan menjaga agama-agama, selain Islam sebagaimana cuba dihujahkan secara silap olehnya.
Beliau turut meminta Ahli Parlimen Parit Buntar itu merujuk tulisan sarjana Islam dalam bidang fiqh kenegaraan termasuk Imam Syatibi selaku pelopor awal konsep Maqasid Syariyah, yang sepakat merujuk konsep menjaga agama kepada menjaga akidah dan syariat Islam, bukan menjaga agama-agama lain.
“Apabila syariat Islam terjaga dan terpelihara, maka agama lain juga akan terpelihara haknya untuk diamalkan kerana ia adalah sebahagian tuntutan dan pengajaran Islam.
“Bukan dengan meletakkan agama lain setaraf dari sudut pemeliharaan, pelaksanaan dan penegakan serta penyebaran agamanya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dr. Mohd Khairuddin mempersoalkan, adakah Dr. Mujahid berhasrat untuk melebarkan konsep memelihara agama kepada usaha menegakkan hukum hakam agama lain dalam bernegara selain daripada agama Islam?
Katanya, menegakkan agama juga berlaku dengan melaksanakan tanggungjawab menyebarkannya sebagaimana disebut oleh sarjana fiqh kenegaraan Islam.
“Adakah Dr. Mujahid berhasrat apabila melebarkan konsep menjaga agama kepada menjaga agama-agama lain juga selain Islam, ia bermaksud agama lain juga akan dibenarkan untuk disebar secara meluas dan kerajaan akan memberikan peruntukan untuk agenda penyebaran agama lain?” ujar beliau.
Tambahnya, jika begitu, ia bercanggah dengan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”
Perkara 11 (4) pula, menurutnya, memperuntukan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”
“Jika Dr Mujahid berhasrat untuk menekankan hak beragama bagi penganut bukan Islam, Perlembagaan Persekutuan sudah memberikan ruang yang cukup menerusi Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan,” katanya.
Malah, jelas Dr. Mohd Khairuddin, Perkara 11 (3) memberikan hak kepada penganut agama-agama termasuk agama Islam untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara yayasan untuk tujuan agama masing-masing dan khairat, memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
“Saya sangat bimbang kecenderungan Dr. Mujahid untuk mengambil hati bukan Islam yang menjadi pengundinya menyebabkan beliau teruja memberikan tafsiran yang salah terhadap agamanya sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















