Home Nasional Azmin akan ke Singapura bincang HSR

Azmin akan ke Singapura bincang HSR

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berjumpa rakan sejawatnya di Singapura bagi membincangkan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).

Menteri Hal-Ehwal Ekonomi itu berkata, pertemuan tersebut dijangka pada akhir bulan ini.

“Minggu lalu Peguam Negara telah memberi taklimat dan saya sudah berhubung dengan Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chung Sing.

“Saya harap pertemuan dengan beliau di Singapura dalam tempoh terdekat dan kami akan berbincang mengenai projek itu,” katanya di sini.

Status projek HSR itu masih menjadi tanda tanya memandangkan kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon berkata, negara itu masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung projek HSR.

Republik berkenaan pada 1 Jun lalu telah meminta kerajaan Malaysia, melalui saluran diplomatik, mengesahkan kedudukan Malaysia berhubung projek berkenaan.

Singapura memaklumkan negara itu telah menanggung lebih daripada S$6 juta (RM17.8 juta) dan menjangka menanggung tambahan S$6 juta pada Julai.

Kos itu akan meningkat dengan tinggi selaras masa. Dari Ogos hingga penghujung Disember, Singapura perlu membelanjakan sekurang-kurangnya S$40 juta atau lebih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata, Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung projek HSR kerana ia memberikan pengaruh kepada pasaran saham negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast