Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pengurangan had umur belia dan had umur mengundi kepada 18 tahun merupakan dua cadangan yang akan dibawa ke persidangan Parlimen ke-14 kali ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, kadar umur belia semasa 40 tahun ialah tidak relevan dan golongan itu lebih bermanfaat dengan segala peruntukan dan bantuan yang hanya memfokuskan mereka sahaja.

Katanya, jika ikutkan beliau hendak membawa banyak perkara berkaitan belia namun mahu seimbang dengan kementerian lain dan akan ketengahkan pada sidang penggal pertama dan kedua supaya definisi belia dikaji semula.

“Umur anak muda masih pada kadar 40 tahun, misalnya sebarang peruntukan hanya diberikan kepada yang mencecah umur 40 tahun tetapi anak belia sebenar iaitu antara 25 tahun hingga 28 tahun terpinggir baik dari segi peruntukan mahupun tampuk kepimpinan organisasi sehingga proses rejuvenasi tidak berlaku.

“Cadangan saya nak turunkan kepada 30 tahun dan memastikan ada tempoh transisi bermakna tampuk kuasa belia betul betul diterajui anak muda.

“Jika ikutkan standard antarabangsa belia dikategorikan antara 16 hingga 28 years, Jadi kami di sini juga mahu sekurang kurangnya ditetapkan belia dikategorikan antara 16 hingga 30 tahun,” katanya ketika diserbu pemberita di lobi Parlimen.

Beliau ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung Sultan Muhammad V 10 pagi tadi dihadiri 222 ahli Parlimen, ahli Dewan Negara serta barisan Jemaah Menteri.

Tambah beliau cadangan kedua yang mahu diberi keutamaan pada sesi Parlimen kali ini ialah berkenaan mengurangkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Beliau dalam perkara berkaitan membidas orang ramai yang suka menggelar pemuda sebagai lalai, lemah, tidak berpengalaman dan tidak berpengetahuan politik.

“Cukup itu, kalau nak saya boleh tujukan yang sama terhadap warga tua tapi perlu ingat umur bukan pengukur kematangan.

“Di Indonesia dan beberapa negara serantau, pemuda berusia 17 tahun mengundi di Malaysia juga mahu belia berusia 18 tahun mengundi kerana pendidikan politik bakal jelma pada masa hadapan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Parlimen Muar itu berkata, dalam usaha berkenaan mekanisme memberi insentif kepada parti politik memastikan anak muda lebih cakna isu semasa boleh terlaksana.

Jelas beliau ia secara semula jadi membolehkan pemuda berdialog mengenai isu semasa di sekolah dan Universiti tanpa tunggu capai umur 21 tahun.

“Ia juga memastikan parti politik boleh menyediakan pendidikan politik untuk anak muda yang berpeluang berbincang isu nasional, kalau boleh di Indonesia kenapa tidak di sini?” soal beliau.

Pun begitu sebelum melaksanakan dua cadangan itu, katanya terlebih dahulu perlu mengadakan perbincangan dengan golongan sasaran itu.

“Tahun ini saya nak dengar dulu dengan bertemu kesemua golongan sasaran belia dan menggubal dasar manakala tahun seterusnya bermulalah pelaksanaan apa yang dirancang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette