Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, selain tidak boleh didiskriminasi, golongan LGBT tidak harus tercicir hak untuk mendapatkan keadilan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Malaysia berhak menikmati hak yang sama sebagai warga negara ini dan mereka tidak seharusnya didiskriminasi dalam sebarang bentuk termasuk di tempat kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata golongan itu juga tidak harus tercicir hak untuk mendapatkan keadilan.

“Mengenai hak kewarganegaraan, mereka tidak boleh didiskriminasi di tempat kerja atau dalam isu lain,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai aktivis LGBT Numan Afifi yang meletak jawatan sebagai pegawai akhbar Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan kontroversi mengenai identitinya.

Beliau berkata Numan telah meletak jawatan secara sukarela dan ia tidak sepatutnya menjadi isu, melainkan ada bukti bahawa dia dipaksa berbuat demikian.

Bagaimanapun, Mujahid yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengiktiraf golongan itu.

“Dari segi undang-undang, tidak timbul perkara seperti memberi pengiktirafan, hanya ada hak kewarganegaraan,” kata beliau.

Beliau juga berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenalkan program yang positif untuk mendekati golongan itu, dan memulihkan mereka secara afektif dan membawa mereka semula ke pangkuan masyarakat.

— BERNAMA