(Dari tengah ke kanan) Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perniagaan Penerbangan) Bo Lingam bersama-sama Allstars (kakitangan AirAsia) di majlis Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018.

KUALA LUMPUR – AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-10 berturut-turut bagi Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018.

Majlis itu berlangsung di The Langham, London.

Dikenali sebagai “Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan”, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 20.36 juta tinjauan pelanggan yang dilakukan di lebih 105 negara.

Pengasas Bersama AirAsia, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, beliau tidak menyangka syarikat itu dapat mengekalkan anugerah itu untuk satu dekad.

“Perasaan ini tidak dapat digambarkan. Saya masih tidak dapat melupakan perasaan sewaktu kami dinamakan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat pertama kali ke-10 tahun yang lalu.

“Dan saya tidak menyangka bahawa kami akan mengekalkan anugerah ini selama satu dekad. Terima kasih kerana sokongan luar biasa anda,” katanya.

AirAsia X juga telah diiktiraf sebagai Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun keenam berturut-turut.

Selain itu, syarikat itu dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia.

Sebagai meraikannya, AirAsia akan menawarkan tambang rendah bermula 23 hingga 29 Julai 2018 di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Para tetamu juga berpeluang untuk memenangi penerbangan percuma selama satu tahundengan menyertai pertandingan #WeAreAllChampions di laman media sosial AirAsia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman Instagram kami (instagram.com/airasia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia). – MalaysiaGazette