Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, punca kos Projek Rel Berlajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura mencecah RM110 bilion  kerana terdapat kos tersembunyi dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Menjawab di Dewan Rakyat hari ini, Azmin berkata, kos sebenar projek HSR oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah pada nilai RM55 bilion sahaja.

“Seperti biasa kos yang disebut (Ahli Parlimen) Ayer Hitam adalah kos projek yang dikatakan pada RM55 bilion. Tapi dalam banyak perkara, banyak kos-kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan terdahulu.

“Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab mendedahkan keseluruhan kos projek ini, sebab itu sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan kerana suasana ekonomi, maka kerajaan ambil pendirian untuk bincang supaya semua terma dipatuhi,” katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam)

Terdahulu dalam ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Azmin berkata, keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk memastikan sebarang projek pembangunan mesti membawa impak yang positif kepada ekonomi.

Ujarnya lagi, semua projek pembangunan haruslah dirancangkan dengan teliti dan mengikut prinsip yang telus dan dalam kemampuan kewangan serta  menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Berdasarkan kepada pengiraan kos keseluruhan pembinaan HSR yang dijangkakan RM110 bilion dan jumlah ini amat tinggi untuk jajaran 350 kilometer.

“Pada masa ini, kerajaan berusaha untuk mengurangkan bebanan hutang negara yang sudah mencecah RM1 trilion,” katanya lagi. -MalaysiaGazette