Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui ketelusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jauh lebih telus berbanding dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan 1 September ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui ketelusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jauh lebih telus berbanding dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan 1 September ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui ketelusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jauh lebih telus berbanding dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan 1 September ini.

Menurut Guan Eng, sistem SST tidak telus kerana mempunyai cukai tersembunyi jika hendak dibandingkan dengan GST yang jelas dalam resit pembelian pengguna.

“Memang tidak dapat nafikan hakikat, mana telus? Tentu GST lebih telus kerana kita nampak kutipan itu berbanding dengan SST yang kita tidak nampak. Memang benar kita tidak dapat nafikan tentang perkara itu.

“SST tidak setelus dan efisyen seperti GST. Benar rakyat tidak akan nampak dengan mata kasar sistem SST ini berbanding GST yang tertulis atas resit sebanyak enam peratus” katanya ketika sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) adakah beliau mengakui GST lebih telus berbanding dengan SST selain daripada menyebabkan kenaikan barangan selepas ini.

Menurut Ahmad Maslan, rakyat terpaksa membayar sejenis cukai yang tidak akan tertera dalam resit seperti kaedah GST sebelum ini.

“Selepas pelaksanaan GST, KPDNKK pada 30 Oktober 2012 telah memaklumkan 221 barang telah turun kerana GST. SST pula tidak telus, tidak nampak dalam resit. Apa komen anda,” soalnya.

Bagaimanapun, Guan Eng tetap mempertahankan sistem SST yang dikembalikan selain daripada memansuhkan GST sehingga kadar sifar.

“Kita bukan seperti kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita tidak nafikan impak yang terjadi selepas pelaksanaan SST. Tetapi pada masa yang sama, kita juga sedang mencari kaedah bagi memastikan pengguna terakhir iatu rakyat tidak terkena impak besar dengan SST ini.

“GST memang telus tetapi ianya dikutip dengan begitu meluas sehingga mencapai keuntungan sebanyak RM42 bilion berbanding dengan SST akan datang. Ianya akan beri kesan kepada rakyat khususnya pengguna akhir.

“Cukai GST dikutip sehingga membebankan rakyat, itu yang menjadi keprihatinan kita ketika ini. Kita ada masalah dengan penguatkuasaan dan ketirisan. Pengilang akan cuba ambil kesempatan untuk lari dari SST. Saya telah maklumkan kepada pihak Kastam untuk selesaikan isu ini,” tegasnya.

Kelmarin, Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan berkata, SST akan dikuatkuasakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% perkhidmatan, dengan rang undang-undang cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.

Katanya, SST yang akan menggantikan GST mulai 1 September nanti dijangka menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk mengekalkan cukai GST yang berkadar sifar sejak 1 Jun lalu.

Bekas ketua Pemuda Umno itu yakin GST lebih telus dan efisien berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST). – MalaysiaGazette