Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun.
Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan sanggup menanggung dosa sekiranya gagal menunaikan janji-janji yang telah ditaburkan kepada rakyat jelata pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sambil tersenyum sinis ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini, Dr Mahathir berkata, pihaknya sedar ada pelbagai rintangan serta cabaran perlu dihadapi bagi pelaksanaan tersebut.

Namun demikian, kata Tun Mahathir, kerajaan yang diterajui oleh beliau akan terus komited dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap janji itu dilaksanakan walaupun mengambil masa.

“Bukan kita tidak mahu laksanakan janji-janji seperti yang kita cakap tempoh 100 hari. Tetapi rintangan yang dihadapi oleh kita juga bukan mudah.

“Saya tidak pula sedar Yang Berhormat Rembau menganggap manifesto sebagai kitab suci. Pada kami ianya manifesto, tidak mengikat kita sehingga tidak boleh bergerak.

“Apabila kita cuba laksanakan, kita dapati banyak rintangan, umpama undang-undang lama yang digubal bekas kerajaan, pegawai-pegawai yang dahulu bersih daripada jenayah sekarang tak dapat laksanakan tugas-tugas mereka dan perlu ditukar.

“Semua ini menjadi halangan terhadap pelaksanaan janji kami,” katanya.

“Kalau kami berdosa, kami tanggung. Tetapi kami tidak anggap manifesto itu sebagai kitab suci atau ‘Bible’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh soalan tambahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai sama ada janji dalam manifesto akan ditunaikan atau hanya sebagai panduan.

Tambah Tun Mahathir, kerajaan mendapati beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji-janji dapat ditunaikan.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu, Tun Mahathir berkata, kerajaan berjanji akan memberikannya tanpa teragak-agak.

Jelas Tun Mahathir, ini termasuk Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kami berharap royalti diguna untuk kebaikan negeri dan tak disalah guna untuk kuatkan parti dan lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette