Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Jawapan ‘acuh tidak acuh’ kerajaan Pakatan Harapan tentang pendirian mereka berhubung Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dilaksanakan kerajaan terdahulu adalah sangat mengecewakan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan PH kini dalam peringkat kajian sama ada mahu meneruskan inisiatif MIB atau sebaliknya.

Katanya, antara yang menjadi fokus utama beliau termasuk kadar pengambilan 7 peratus kemasukan pelajar India ke universiti  dan Skim Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M).

“Adakah semua inisiatif ini akan dikekalkan atau akan dinaikkan ke peratus yang lebih baik selaras dengan janji-janji dibuat oleh kerajaan kini? Atau adakah anda sekali lagi akan membuat pusingan ‘U’ dengan alasan hutang negara? Sangat mengecewakan jika pendirian ini tidak dinyatakan.

“Kerajaan kini telah memaklumkan dengan terus terang bahawa semua kuota atau tempat minima dalam pengambilan ke universiti dan penjawat awam akan dihapuskan. Tetapi kerajaan dahulu sudah berjanji akan memberikan tempat kepada golongan ini.

“PH tidak ambil inisiatif untuk menyambung usaha baik kerajaan lama demi memastikan kebajikan masyarakat India akan terus terbela. Sistem merit yang diamalkan selama ini tidak membantu kami dalam mencapai peratusan saksama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, kerajaan akan memperhalusi MIB bagi memastikan kesejahteraan kaum tersebut.

Jelas Kulasegaran, MIB yang dilhamkan kerajaan terdahulu dilihat gagal dalam membantu ekonomi masyarakat India.

Sivarraajh menambah, kerajaan seharusnya meneliti secara terperinci mengapa jumlah kemasukan pelajar India ke universiti awam merosot secara mendadak sejak sistem merit dilaksana.

“Ada inisiatif oleh kerajaan dahulu sebenarnya sangat memberangsangkan dengan objektif utamanya untuk terus membantu masyarakat India terutamanya dalam menaik taraf ekonomi kaum ini.

“Rata-rata yang mengundi PH kerana mahu pembaharuan dan percaya kepada janji-janji yang telah ditaburkan selama ini, saya mohon kepada mereka bukan untuk tunaikan dalam tempoh 100 hari ini sebaliknya dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette