Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media sebelum Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kementerian MoA di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR –  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani komited untuk terus membangunkan Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan lebih bertanggungjawab, kata menterinya Salahuddin Ayub.

Beliau berkata ketika ini pusat itu mempunyai 72 ladang satelit dengan 7,000 ekor lembu yang sedang diusahakan.

Katanya kementerian itu, menerusi NFC, juga sedang memperkasa taman kekal keluaran ruminan dan program integrasi lembu di dalam ladang kelapa sawit yang kebanyakan ladang itu dimiliki beberapa syarikat besar dengan keluasan 1.4 juta hektar.

“Kalau ungkap balik tentang NFC kita tak akan pergi mana-mana tetapi apa harapan kita, kita mesti membangunkan dengan lebih bertanggungjawab.”

“Ini adalah satu pelan jangka sederhana dan panjang yang mesti kita usahakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai rasional meneruskan projek tersebut pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Salahuddin berkata kementerian itu juga berhasrat untuk melakukan perbincangan yang lebih konstruktif dengan syarikat-syarikat korporat terlibat berkenaan pembabitan mereka dalam projek tersebut.- BERNAMA