Foto Instagram Aishah.
Foto Instagram Aishah.

KUALA LUMPUR – Semalam, aktor dan aktivis teater Khalid Salleh pergi mengadap Ilahi dan pemergiaannya telah meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan-rakan industri hiburan tempatan yang  rapat dengan Allahyarham.

Seperti penyanyi Aishah, beliau berkongsi pengalaman mengenali Khalid Salleh semasa hayatnya yang disifatkannya sebagai seorang lelaki budiman dan suka membantu.

Menerusi coretan panjang di Instagram miliknya, Aishah berkata, Allahyarham sekeluarga sering memberi bantuan kepadanya ketika dia masih bergelar ibu tunggal malah penyanyi lagu Janji Manismu itu sering berjumpa arwah sekiranya berlaku sesuatu masalah.

“Arwah sekeluarga terlalu banyak membantu saya semasa bergelar ibu tunggal, kalau sakit pening, mereka yang kami beritahu dahulu.

“Kalau anak-anak saya nakal maka mereka akan didisiplinkan oleh Wak Lid dan pernah satu ketika saya sakit teruk, Wak Lid sekeluarga datang membantu.

“Semoga segala jasa dan kebaikannya akan Allah balas dengan sebaik-baik pembalasan. Al-Fatihah,” tulisnya.

Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang pada usia 70 tahun.

Anak Allahyarham, Israr Khalid memberitahu, bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu dan arwah dikejarkan ke hospital pagi Isnin sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Mengimbau pengalaman berlakon teater bersama Khalid, Aishah memberitahu, Teh Tarik cukup meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

Jelas Aishah, menerusi teater dia banyak menimba ilmu selain belajar mengenai erti rendah diri dan persahabatan. – MalaysiaGazette