Masnizam Hisham
Masnizam Hisham

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana menolak dakwaan bahawa tempoh perkhidmatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham dijangka tamat pada masa terdekat atau beliau telah meletak jawatan.

Prasarana berkata, kumpulan itu yakin dengan kepimpinan Masnizam dalam menguruskan Prasarana dan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan beliau sejak memegang tampuk pengurusan pada 18 Januari, 2018.

“Sentiasa gigih dalam kerjanya, Masnizam memulakan beberapa langkah inovatif selaras dengan program-program penjimatan kos dan penambahan hasil di bawah satu inisiatif baru bergelar ‘Mencipta Prasarana 2.0’,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan sebuah portal menyatakan Masnizam akan melepaskan jawatannya lebih awal berikutan kos tinggi bagi projek LRT3.

Bagaimanapun, menurut laporan The Edge yang memetik sumber mengatakan peletakan jawatannya ‘tidak dapat dielakkan’ apabila Prasarana meminta dana tambahan sebanyak RM22 bilion dari Putrajaya untuk projek LRT Laluan 3 (LRT3).

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengarah yang kesal dengan laporan-laporan media menyifatkan ia berniat tidak baik dan tidak wajar khususnya tanpa menamakan sumber yang sahih ketika Prasarana sedang mengambil pelbagai inisiatif transformasi demi kepentingan syarikat khususnya untuk projek LRT3.

Katanya, pada Jumaat lalu, pengurusan kanan Prasarana telah mengemukakan satu laporan terperinci tentang projek LRT3 kepada Lembaga Pengarah yang mana ia telah dihantar kepada Menteri Kewangan untuk memberikan perspektif penuh projek berkenaan.

“Dalam surat kepada Menteri Kewangan, Prasarana menegaskan bahawa ia akur dengan sebarang keputusan pihak Kementerian dalam menyiapkan projek ini demi kepentingan rakyat dan meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast