Kakitangan Ryanair protes
Ryanair berdegil untuk tidak membayar pampasan penumpang terjejas penerbangan.

BRUSSELS – Ryanair tidak akan membayar pampasan yang dituntut penumpang yang terjejas akibat mogok.

Lebih 100,000 penumpang yang telah dibatalkan penerbangan atau mengalami kelewatan tidak akan menerima sebarang pampasan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu mendakwa gangguan penerbangan terganggu akibat tingkah laku kesatuan yang tidak munasabah.

Ryanair bertegas pihaknya tidak perlu bertanggungjawab membayar sebarang pampasan untuk alasan yang tidak masuk akal.

Lembaga Penerbangan Awam (CAA) tidak bersetuju dan berpendapat Ryanair mesti membayar 222 pound sterling kepada penumpangnya seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Kesatuan Eropah (EU).

Undang-undang itu menyebut, pelanggan perlu dibayar pampasan sekiranya penerbangan jarak pendek sesebuah syarikat terbatal dalam tempoh masa dua minggu untuk penerbangan.

CAA memberitahu Times: “Apabila penerbangan dibatalkan akibat tindakan mogok oleh pekerja syarikat penerbangan, syarikat itu perlu membayar pampasan kepada penumpang berkenaan dengan pembatalan penerbangan.

Jurucakap Ryanair berkata, syarikat mematuhi undang-undang EU261 sepenuhnya, namun bertegas tiada pampasan yang perlu dibayar disebabkan pembatalan penerbangan itu adalah akibat keadaan luar biasa.

“Dibawah Undang-undang EU261, tiada pampasan yang perlu dibayar apabila kesatuan bertindak secara tidak munasabah dan sepenuhnya di luar kawalan syarikat penerbangan itu”.

Bagaimanapun CAA menolak alasan Ryanair dan mengarahkan syarikat penerbangan itu menunaikan tanggungjawabnya melibatkan 600 penerbangan yang terbatal dan penumpang yang terjejas akibat tindakan itu.

Kesatuan pekerja di Portugal, Sepanyol, Belgium dan Itali terlibat dalam mogok selama 48 jam semalam.

Mereka mendakwa kakitangan Ryanair dikurangkan elaun cuti dan kemudahan lain dengan alasan mereka digajikan di bawah kontrak.

Sebagai tindakan balas. syarikat penerbangan swasta berpusat di Dublin itu menyiarkan slip gaji Jun dalam laman webnya sebagai tindakan membuktikan kesemua kakitangan terjejas dibayar setimpal. – MalaysiaGazette