Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Dr. Mohd Ali Mohamad Nor (kanan) menunjukkan logo Sayangi Malaysiaku yang merupakan logo rasmi Hari Kebangsaan 2018 pada sidang media di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Sambutan rasmi Hari Kebangsaan 2018 beserta perbarisan akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Manakala bulan sambutan Hari Kebangsaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Ogos di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, sambutan bulan Merdeka dan mengibarkan Jalur Gemilang adalah bermula 3 hingga 5 Ogos di Padang Kota Lama di negeri Pulau Mutiara yang dipilih sebagai tuan rumah sambutan kali ini.

Katanya beliau telah berjumpa dengan Tun Mahathir untuk mendapatkan pendapat lokasi sambutan sebelum perdana menteri memuktamadkan supaya sambutan diadakan di Putrajaya sebagai meraikan pentadbiran bersejarah kerajaan baharu Malaysia.

“Tema bagi sambutan kali ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku’ sebagai merai dan mempertingkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara dalam kalangan rakyat.

“Manakala logo rasmi sambutan kali ini yang dipilih ialah hasil ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam yang ditapis daripada 632 penyertaan yang diterima sebelum ini.

“Logo itu menggambarkan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu hati dihadapan menyatukan mereka bermakud warga Malaysia berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni seia sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang kukuh terhadap negara tercinta,” katanya dalam sidang media khas di sini.

Terdahulu beliau melancarkan logo, lagu dan tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan 2018 di pejabat kementerian beliau di sini.

Di majlis sama, lagu rasmi sambutan kemerdekaan dilancarkan dengan bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ yang dinyanyikan oleh Kumpulan Bunkface.

Menurut menteri kumpulan itu dipilih kerana nyanyian yang ‘Catchy’ dan berlainan memandangkan kerajaan baharu pakatan Harapan terbentuk selepas 60 tahun sambutan merdeka dan lagu baharu ini memastikan kerajaan bertenaga dalam manifestasikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam perkembangan sama, Gobind berkata, program jelajah menghebahkan sambutan merdeka akan dimulakan dari 45 Ogos sehingga hari sambutan di Putrajaya.

Lebih menarik katanya, kementerian juga membuat keputusan untuk mendendangkan kesemua lagu lagu patriotik hari kebangsaan yang dihasilkan sejak 60 tahun lalu pada sambutan ke61 kali ini.

“Justeru jumlah kos perbelanjaan untuk sambutan kali ini juga lebih kecil berbanding tahun lepas tetapi akan lebih meriah dan bersemangat kerana pembentukan kerajaan baharu yang dipilih rakyat jelata.

“Tunjukkan semangat cintakan negara dan patrotik anda mulai sekarang dengan mengibarkan bendera jalur gemilang pada sambutan bersejarah tahun ini untuk semua.

“Lebih penting lagi Hari Malaysia juga akan disambut pada 16 September di Kota Kinabalu Sabah dengan penuh meriah sepertimana Hari Kebangsaan sebagai satu bangsa Malaysia,” tegasnya.