KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuhkan pematuhan amalan keselamatan dalam kalangan warga kerja dan kontraktornya menerusi inisiatif baru berkaitan budaya keselamatan.

Ia dikenali sebagai Tenaga Safety Culture (TSC) yang dilancarkan baru-baru ini.

Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, TSC memberi penekanan kepada empat elemenutama iaitu menilai (assess), patuh (comply), tegur (intervene) dan prihatin (actively caring).

Katanya, inisiatif membudayakan keselamatan di tempat kerja adalah antara usaha syarikat untuk memastikan matlamat kemalangan sifar di tempat kerja dicapai selain meningkatkan pematuhan terhadap peraturan kesihatan, keselamatan dan persekitaran.

Gambar 2

“Ia juga diyakini dapat meningkatkan reputasi syarikat selain meningkatkan lagi budaya saling mengambil berat sesama warga kerja,” kata Azman baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Pengerusi National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam ucapannya berkata, majikan dan pengurusan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa keselamatan bukan sekadar menjadi keutamaan malah menjadi budaya dalam organisasi mereka.

Menurutnya, kerjasama TNB dan NIOSH telah terjalin sejak tahun 2007 lagi menjadikan  TNB salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjadi penyumbang terbesar kepada perkembangan dan pencapaian NIOSH.

Justeru beliau berharap kerjasama erat di antara NIOSH dan TNB dapat diteruskan dan menjadi contoh kepada syarikat lain demi meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan persekitaran, sekali gus mengurangkan kemalangan dan masalah kesihatan berkaitan pekerjaan.

Majlis turut dihadiri Pengurus Besar Jabatan HSE TNB, Venudran Raman; pengurusan tertinggi TNB, wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat selain lebih 500 warga kerja TNB dan pelajar sekolah serta universiti.

Selain pameran berkaitan keselamatan, kesihatan dan persekitaran, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma turut diadakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast