Prasarana

KUALA LUMPUR- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan sekiranya terdapat sebarang unsur salahguna kuasa dalam pembangunan projek Transit Aliran Ringan 3 atau LRT3.

Prasarana, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat memandang berat terhadap sebarang salahlaku yang menjejaskan integriti dan nama baik syarikat.

Semalam terdapat laporan mengatakan SPRM sedang melakukan siasatan terhadap ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan yang terlibat dari tahun 2014 ke 2017, serta jururunding, kontraktor, dan rakan pelaksana projek (PDP) yang terlibat dalam projek LRT3.

Sebelum ini Lembaga Pengarah Prasarana pada 12 Jun 2018 telah mengarahkan pengurusan kanan syarikat untuk melaporkan kepada Ketua Pegawai Integriti Prasarana sekiranya terdapat sebarang kejadian dan penyimpangan yang disyaki dalam projek tersebut.

Ketua Pegawai Integriti Prasarana adalah pegawai bertauliah integriti yang dipinjam dari SPRM. – MalaysiaGazette