Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hasan bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semasa Himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' itu anjuran gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hasan bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semasa Himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' itu anjuran gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak perlu untuk mengajar pengundinya di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis untuk memilih calon mana yang mereka mahu.

Ujarnya, Pas berpendapat Pakatan Harapan (PH) perlu dikalahkan kali ini bagi mencerminkan bantahan rakyat mengenai situasi yang meresahkan umat Islam terhadap beberapa isu sejak kebelakangan ini.

“Sikap kita (Pas) nak PH kalah dalam PRK Sungai Kandis. Saya nak tanya ada tidak setuju ke tidak PH kalah?

“Kalau setuju pengundi Pas nak buat macam mana? Takkan parti nak ajar A, B, C? Rakyat sudah cerdik,” katanya dalam ucapan Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Bertemakan ‘Malaysia Baru Pasca PRU14: Islam Melayu terancam, ramai wajah-wajah politik Pas dan Barisan Nasional (BN) turut turun ke himpunan berkenaan.

Antaranya Ahli Parlimen Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan calon PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Juga kelihatan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii.

Himpunan turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Nasrudin juga melahirkan kebimbangannya apabila pucuk pimpinan kerajaan sekarang yang terang-terangan menolak hadis Nabi dan hanya mahu menggunakan panduan al-Quran semata-mata selari dengan fahaman golongan anti hadis.

Dianggarkan lebih 3,000 peserta membanjiri Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu.

Rabu lalu, Nik Abduh mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis. – MalaysiaGazette