Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Pengumuman bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan prinsip demokrasi dalam parti.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin menganggap keputusan Rafizi itu sebagai satu kebebasan yang telah lama menjadi amalan parti tersebut dan tidak timbul persoalan tentang kelayakan seseorang pemimpin dalam mengukur kebolehannya.

“Pda saya terpulang beliau (Rafizi) untuk bertanding dalam apa jua jawatan sekalipun. Itu kebebasan seseorang individu itu sendiri, malah parti sendiri mengamalkan dasar demokrasi.

“Jika Rafizi rasa dirinya layak untuk bertanding untuk jawatan itu, tidak ada sebarang masalah. Beliau bebas dan terbuka untuk bertanding apa sahaja, saya rasa terpulang pada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas pengumuman Rafizi memperkenalkan ahli-ahli PKR yang berada di dalam kemnya untuk merebut beberapa jawatan peringkat pusat melalui pemilihan parti yang akan diadakan bermula Ogos ini.

Bertemakan ‘Reformasi 20 Tahun’, Rafizi menyatakan pasukan beliau memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Rafizi turut membariskan empat nama yang bersamanya untuk menduduki jawatan Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Anwar, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Turut diumumkan ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai calon Ketua Wanita dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang akan bertanding kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Dalam pada itu, Zuraida turut mengesahkan dirinya tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita demi kelangsungan parti namun masih terus berteka-teki dengan jawatan baru yang akan di tandinginya pada bulan hadapan.

“Tarikh 5 haribulan masih jauh lagi, kita fokus pada Sg Kandis terlebih dahulu. Saya akan buat pengumuman kemudian nanti, walauapapun keputusan itu, ianya demi kelangsungan parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang dakwaan ‘nepotisme’ yang diamalkan dalam PKR, Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang berkata, maksud itu tidak membawa apa-apa makna seandainya induvidu-induvidu itu layak memerintah.

“Apa salah sekiranya anak dan bapa atau saudara dan keluarga terdekat masing-masing sebenarnya mempunyai kelebihan dan kelayakan yang diperlukan.

“Sebenarnya definisi ‘neoptisme’ masih tidak jelas dan tidak menjadi persoalan. Jika mampu bekerja dengan professional, telus, tidak menganiyai mana-mana pihak dan mampu berlaku adil, walaupun hubungan anak bapa tetapi mempunyai kelayakan tidak salah.

“Saya rasa soal nepotisme ini sebenarnya tidak timbul, pada saya sesiapa pun jika mempunyai kelayakan boleh sahaja berjawatan atau memerintah,” tegasnya.

Sebelum ini,  Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi kenyataan mendakwa berlakunya amalan kronisme dan nepotisme kronik dalam kalangan pimpinan parti di negeri itu hingga disifatkannya sebagai ‘kabilah’. – Malaysia Gazette