Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan tuduhan liar yang mengaitkan tindakan Datuk Lee Chong Wei yang menarik diri dari kejohanan Sukan Asia dan juga kejohanan Badminton Dunia ada kaitan dengan skandal 1MDB.

Beliau kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengkritik bekas pemain nombor satu dunia itu sampai ke tahap itu.

“Saya berjumpa dengan Chong Wei minggu lepas Rabu pagi di kediamannya yang mana dia menyatakan bahawa terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia dan kejohanan dunia.

“Ia disebabkan oleh masalah respiratori dan perlu berehat dan saya berharap pencinta sukan dan media memberi ruang untuk beliau kembali pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Syed Saddiq juga kecewa dengan soalan wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan menerusi wawancara khas kononnya ramai orang mendakwa terdapat agenda tersembunyi dalam penarikan Chong Wei dari kejohanan utama badminton musim ini.

“Dia selamba tanya kononnya orang ramai mendakwa dia (Chong Wei) tarik diri sebab bersangkut paut dengan 1MDB. Ada dapat dana (1MDB). Itu fitnah dan penipuan…jangan malukan hero kita.

“Perbezaan politik itu biasa tetapi kita takkan lupa jasanya sebagai atlet yang harumkan nama negara,” kata Syed Saddiq.- MalaysiaGazette