Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin mempertahankan pelantikan dalam Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuainya merupakan khidmat negara secara sukarela.

“Kami semua melakukan khidmat negara secara sukarela. Kami akan mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri dan selepas selesai kami meneruskan kehidupan kami semula,” katanya kepada South China Morning Post.

Daim yakin kerja-kerja yang ditugaskan oleh majlis itu akan selesai dalam tempoh 100 hari seperti yang ditentukan oleh Perdana Menteri.

Majlis Penasihat Kerajaan itu dibentuk oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi Pilihan Raya Umum yang lalu.

Selain bekas Menteri Kewangan itu, Majlis Penasihat Kerajaan turut disertai oleh Tan Seri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Robert Kuok dan Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram.

Daim berkata, Majlis Penasihat Kerajaan itu mempunyai ahli-ahli komited, kuat bekerja dan sekretariat yang efisien.

Peranan Majlis Penasihat Kerajaan dipersoalkan kerana terlibat dalam keputusan penting kerajaan.

Ia termasuk peletakan jawatan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan berunding dengan Kerajaan China. – MalaysiaGazette