Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Tindakan populis kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sifar peratus berkemungkinan besar bakal menyebabkan negara berdepan dengan implikasi serius aliran wang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendapatan negara juga akan menyusut sekitar RM44 bilion dalam tempoh setahun lagi berikutan pemansuhan GST yang kemudiannya digantikan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain daripada memperkenalkan cukai SST bagi mengimbangi kerugian besar itu.

“Pendapatan negara akan berdepan implikasi serius kerana telah memansuhkan GST, dalam tempoh setahun penyusutan pendapatan negara akan hilang sekitar RM43 atau RM44 bilion.

“Kerajaan perlu cari cara lain untuk menampung penyusutan pendapatan negara kira-kira RM44 bilion itu, kerana penyusutan pendapatan ini juga akan memberi kesan besar kepada aliran wang.

“Jadi, kerugian itu harus diimbangi dengan cara lain jika tidak aliran tunai kerajaan akan terjejas teruk.

“Saya rasa mereka tidak ada pilihan lain daripada memperkenalkan cukai itu (SST), jadi kita tunggu dan lihat apa akan berlaku,” katanya kepada pemberita hari ini di luar lobi Parlimen hari ini.

Kadar GST diturunkan kepada 0 peratus selepas PH membentuk kerajaan 9 Mei lepas dengan pengumuman baru-baru ini SST akan berkuat kuasa pada 1 September ini, pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah beberapa kali mempertahankan keputusan untuk memperkenalkan SST selepas pemansuhan GST dengan turut mendakwa ianya tidak akan sesekali membebankan rakyat seperti GST sebelum ini. – Malaysia Gazette