Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon menunjukkan laporan siasatan keselamatan MH370 di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 30 JULAI 2018
Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon menunjukkan laporan siasatan keselamatan MH370 di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 30 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Pasukan penyiasat keselamatan MH370 tidak menolak kemungkinan ada campur tangan jahat pihak ketiga sehingga menyebabkan pesawat tersebut hilang dari radar empat tahun lalu.

Ketua Inspektor pasukan tersebut, Datuk Ir. Kok Soo Choo berkata, sistem operasi auto-pilot pesawat Boeing 777-200ER itu telah ditutup namun tidak dipastikan sama ada ianya dilakukan secara sengaja ataupun tidak.

“Pesawat tersebut di bawah kawalan manual dan secara sengaja diterbangkan ke Lautan Hindi.

“Kami telah melakukan tujuh ujian penerbangan simulator, tiga ujian pada kelajuan tinggi dan empat ujian pada kelajuan rendah, kami boleh pastikan MH370 diterbangkan secara manual dan bukannya mod auto-pilot,” katanya semasa Taklimat Media Laporan Siasatan MH370 di sini hari ini.

Menurut Soo Chon, selepas menjalankan siasatan dari aspek keselamatan, pasukannya mendapati juruterbang dan pembantunya berada di dalam keadaan baik dan layak untuk menerbangkan pesawat.

“Mereka mempunyai pengalaman, kelayakan dan rehat yang cukup. Kedua-duanya juga tidak mempunyai masalah peribadi, kewangan dan kesihatan mental, maka agak sukar untuk menuduh ia dilakukan oleh juruterbang.

“Pesawat tersebut juga berada di dalam keadaan baik dan layak terbang maka kami tidak menolak adanya campur tangan jahat pihak ketiga,” katanya lagi.

Laporan enam set itu dikeluarkan hari ini dan boleh diakses melalui laman web Kementerian Pengangkutan.

Berulang kali menegaskan laporan tersebut bukan muktamad, Soo Chon berkata, selagi tiada bangkai pesawat mahu pun mangsa ditemui, tiada laporan muktamad boleh dikeluarkan.

Namun begitu, beliau berpendapat, laporan tersebut perlu juga diterbitkan bagi memberi penutup kepada penantian selama lebih empat tahun misteri kehilangan misteri pesawat yang membawa 227 penumpang dan 14 kru itu.

Tidak mampu menentukan punca kehilangan pesawat berkenaan mahu pun mencari pihak yang boleh disalahkan ataupun dipertanggungjawabkan, Soo Chon mengakui siasatan kehilangan pesawat MH370 adalah tugas yang paling sukar untuk beliau dan pasukannya.

“Pada mulanya kami terpaksa membaca gosip di media sosial, mengambil maklum dan menilai semua maklumat sebelum menyenarai pendek tujuh maklumat paling tepat.

“Bukti-bukti sangat terhad dan kami tidak dapat menemui punca mengapa MH370 terbang ke Lautan Hindi.

“Pasukan saya juga terdiri daripada dua pakar psikiatri yang ditugaskan untuk menganalisa rakaman audio di dalam kokpit dan kami mendapati tiada nada takut atau stress, kami juga memeriksa setiap gambar dan semua maklumat yang ada termasuk latar belakang krew, penumpang, pesawat dan sebagainya.

“Kami mendapati tiada apa yang mencurigakan.

“Jadi, kami tidak boleh mengemukakan punca kehilangan MH370 di dalam laporan ini,” katanya sambil menambah pasukan penyiasat yang diketuainya itu sudah boleh dibubarkan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Ketika ini, beliau bersama pasukannya bertanggung jawab untuk memberi penjelasan lanjut berhubung hasil siasatan berkenaan termasuk bercakap kepada media dan waris mangsa sama ada di Malaysia mahupun di China, penumpang teramai di dalam pesawat tersebut.

Pasukan berkenaan dijangka berada di Beijing pada 3 Ogos ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast