Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Rata-rata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun kini secara terbuka mengakui wujudnya beberapa kem menjelang pemilihan parti namun mereka ia tidak menimbulkan krisis kepimpinan yang parah.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR berkata, tidak ada krisis dalaman parti.

Jelas Johari, keutuhan parti akan tetap terserlah walaupun wujudnya kem berbeza kerana selama usia parti hampir 20 tahun.

“Kita (PKR)  bukan seperti yang lain, pihak lain selepas bertempur terus berpisah. Dalam PKR, kita tidak seperti itu, kita berjuang selama bertahun-tahun dan masih lagi ok. Walaupun hasilnya kita tetap kukuh dan kuat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memperkenalkan ahli-ahli PKR yang berada di dalam kemnya untuk merebut beberapa jawatan peringkat pusat melalui pemilihan parti yang akan diadakan bermula Ogos ini.

Bertemakan ‘Reformasi 20 Tahun’, Rafizi menyatakan pasukan beliau memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Johari turut mendedahkan dirinya telah bertindak menyertai pasukan Rafizi adalah sukar untuk mengadakan pemilihan tanpa ‘kem’ dengan anggota parti yang ramai.

“Kita berbeza dengan parti lain, kita tiada perwakilan. Tapi kita seorang ahli, satu undi, kita bercakap tentang 800,000 orang ahli yang nak mengundi seperti pilihan raya umum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin sekali lagi bertegas tidak ada krisis atau konflik berlaku menjelang pemilihan parti.

MGF11062018_ZURAIDAH RASMI KEMPEN KEBAKARAN12
Zuraida Kamaruddin

“Bukankah lebih baik dalam pertandingan kita ada pihak lawan? Itu adalah sesatu yang normal. Ini namanya demokrasi dan sangat baik. Tidak ada masalah langsung,” ujarnya. – Malaysia Gazette