Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam proses menyusun semula tujuh buah agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan tiada pertindihan fungsi berlaku.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penyusunan semula itu juga memastikan pengagihan tugasan kepada kementerian dan menteri berkaitan dengan lebih berkesan.

“Saya belum dapat cakap secara terperinci tetapi kita masih lagi menyusun bahagian-bahagian yang diletak di bawah kementerian-kementerian. Kita sudah mempunyai kementerian yang baharu dan kita sedang berusaha untuk mengagihkan tugasan kepada banyak menteri lain.

“Akan timbul pertindihan satu kementerian dengan yang lain kadang-kadang, kita sedang susun dan betulkan semua itu,” katanya di Lobi Parlimen sebentar tadi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah memberi bayangan pengumuman rasmi berhubung dakwaan tujuh agensi di bawah kementeriannya bakal ditutup akan dilakukan Mahathir.

Guan Eng berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini kerana kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Baru-baru ini, senarai tujuh agensi di bawah kementeriannya dalam pertimbangan untuk ditutup ditular dalam media sosial. – MalaysiaGazette