Musa Hassan
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang bertanggungjawab dalam pertumpahan darah selama lebih tiga dekad di Sri Lanka diketahui telah beberapa tahun ditewaskan pasukan keselamatan negara itu.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kepada Bernama menerusi temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini, namun ideologi kumpulan itu dan penyokongnya tetap wujud di seluruh dunia serta mampu memberi ancaman kepada mana-mana negara, termasuk Malaysia.

LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

Kempen keganasan LTTE menerima sokongan moral dan pembiayaan daripada ramai pihak termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

Musa berkata, ancaman LTTE tidak boleh dipandang ringan kerana Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyenaraikan mereka sebagai kumpulan pengganas dan selaras itu, ia diharamkan di Malaysia dan 32 negara lain.

Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy menerima kritikan kerana dikatakan terlibat dengan perjuangan LTTE sehingga parti beliau, DAP, meminta penjelasan akan pembabitannya dengan kumpulan itu.

Musa berkata, sebelum ini, Polis Diraja Malaysia pernah menangkap enam rakyat Malaysia (pada 2004 dan 2005) yang berlatarbelakangkan profesional seperti peguam dan akauntan kerana terlibat dengan LTTE.

“Ketika itu saya dapat maklumat daripada polis Sri Lanka bahawa mereka mengutip dana dibantu oleh rakyat kita dan kita ambil tindakan,” katanya.

“Berkemungkinan masih wujud, ideologi LTTE tidak mati, sama juga macam Komunisme, ideologi tidak boleh hilang. Setiap kumpulan ekstrimis adalah ancaman kepada negara kita.

“Kini, walaupun ketua mereka Prabhakaran sudah mati, saya percaya rangkaian mereka masih wujud,” katanya.

LTTE terus mendapat sokongan pihak yang bersimpati dengannya, terutama daripada pelarian Tamil yang menetap di Barat semasa memuncaknya konflik bersenjata di Sri Lanka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. menjijikan LTTE nie, bukan saja menghasut anarki tapi sume jenis jenayah die buat, mengebom, membunuh org awam, rompak bank, lanun, kanak2 jadi pejuang, etnik cleansing utk kaum sinhala tak kurang org islam. totally a terrorist group.

Comments are closed.