Siti Nur Iesmawida Ismail
Siti Nur Iesmawida Ismail

KUALA LUMPUR – Jenazah Siti Nur Iesmawida Ismail dijangka dibawa pulang ke Malaysia hari ini dan dijangka tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 5 petang.

Menurut Kedutaan Malaysia di Jakarta, jenazah Siti Nur Iesmawida akan diiringi suaminya, Mohd Hafiz Mohd Kassim dan seorang ahli keluarga.

“Pegawai-pegawai Kedutaan telah bertemu dengan Encik Mohd Hafiz dan juga mangsa gempa warganegara Malaysia yang lain.

“Kehadiran pegawai-pegawai ini bertujuan untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terkesan akibat gempa bumi ini,” katanya.

Gempa bumi berskala 6.4 Richter yang menggegarkan Pulau Lombok pada Ahad lalu turut mencederakan enam pendaki warga Malaysia.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia menerima maklumat bahawa 21 warganegara Malaysia yang diketahui sebelum ini terkandas di atas Gunung Rinjani pada 29 Julai 2018 telah turun dan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Menurutnya, sebahagiannya telahpun menuju dan berada di Mataram, Lombok. – MalaysiaGazette