LABUAN – Enam ketua penaja cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) di pulau bebas cukai ini hari ini menjelaskan bahawa parti Amanah Labuan belum mempunyai ketua kawasan rasmi yang dipilih oleh anggotanya.

Wakil mereka Abu Mahmood, yang juga ketua penaja cawangan Bukit Kalam, berkata mereka perlu membuat penjelasan itu untuk membetulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan rakyat berikutan laporan berita tidak tepat dalam akhbar tempatan baru-baru ini kononnya Amanah Labuan, yang kini masih berstatus penaja, dilaporkan telah mempunyai ketua kawasan.

Beliau menegaskan bahawa ini bukan bererti Amanah Labuan mempunyai dua puak yang berbeza tetapi penjelasan tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ahli parti.

“Amanah Labuan sedang giat membuka cawangan di seluruh Labuan, oleh itu, ahli baru berdaftar haruslah dimaklumkan dengan jelas mengenai status parti yang masih belum mempunyai ketua dipilih sehingga pemilihan parti (kawasan) diadakan,” katanya.

Abu berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) mesti terlebih dahulu meluluskan pendaftaran sekurang-kurangnya dua cawangan Amanah Labuan sebelum ia membenarkan penubuhan ‘kawasan’ dan pemilihan ‘kawasan’ boleh diadakan sejurus selepas itu untuk memilih barisan kepemimpinan parti yang akan diketuai seorang ketua.-BERNAMA