KLANG, 31 Julai -- Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) menunjukkan dua laporan polis yang dibuat berhubung fitnah media sosial terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLANG –  Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini membuat dua laporan polis selepas mengesan wujudnya penyebaran fitnah terhadap beliau menerusi media sosial sejak semalam.

Mohd Zawawi yang diiringi peguamnya, Mohd Khairul Anwar Ismail membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, bagi mendesak pihak berkuasa itu menyiasat pemilik akaun Facebook atas nama ‘Unit Media Wangsa Maju’ dan pemilik akaun Twitter ‘@MHSBI1’ yang didakwa menyebar fitnah tersebut.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana fitnah yang tersebar melalui media sosial itu tiada asasnya dan sengaja diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan reputasinya yang sedang melakukan jelajah kempen PRK.

“Laporan polis pertama adalah tentang dakwaan mengatakan saya bersetuju dan menyokong (persembahan) tarian gelek untuk mengutip derma Tabung Harapan Malaysia baru-baru ini dan laporan kedua berkaitan dakwaan menuduh saya menyalahgunakan wang semasa berkhidmat di sebuah sekolah di Sungai Bertih, Klang pada tahun 1998.

“Saya amat terkejut dengan dakwaan seperti ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tarian gelek itu malah saya tidak tahu sumber mana pula pihak tersebut ambil sehingga boleh kata saya menyalahgunakan wang di sekolah sedangkan saya telah meninggalkan sekolah itu 20 tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast