Foto Instagram Athony Martial.

LONDON – Anthony Martial mengesahkan dia akan kembali semula ke Old Trafford untuk berlatih bersama Manchester United.

Pengesahan itu dibuat laman Twitter miliknya setelah dia beberapa hari meluangkan masa bersama isterinya yang sedang berpantang selepas melahirkan anak minggu lalu.

Sumber dalaman melaporkan Martial terpaksa meluangkan lebih masa bersama isteri dan bayinya kerana bayinya mengalami jaundice (kuning) yang tinggi.

Baru-baru ini, pengurus Jose Mourinho berang dengan tindakan penyerang itu kerana tidak pulang segera selepas kelahiran anak keduanya.

Martial meninggalkan jelajah pra musim United di Amerika Syarikat untuk bersama dengan kekasihnya di Paris bagi menyambut kelahiran anak kedua mereka sejak 25 Julai lalu.

Namun sejak Sabtu lalu, Mourinho mula tidak berpuas hati apabila Martial tidak pulang segera ke Michigan untuk aksi persahabatan menentang Liverpool. – MalaysiaGazette