Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR –  Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang baharu.

Beliau menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang melepaskan jawatannya secara suka rela baru-baru ini.

Shahril, 48, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dijadual memulakan tugas pada 20 Ogos ini.

Beliau meneraju KWSP pada 16 April 2013 pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) organisasi tersebut.

Shahril bukan calang-calang individu, beliau adalah bekas Pengarah Urusan
Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang bertanggungjawab membangunkan KL Sentral menjadi pusat komersial utama.

Beliau juga pernah berkhidmat di Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan terlibat dalam pemulihan korporat dan penstrukturan semula kredit semasa Krisis Ekonomi Asia 1997.

Khazanah dalam kenyataannya mengalu-alukan Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah baru Khazanah yang dilantik pada 30 Julai lalu.

Sayap pelaburan kerajaan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Tan Sri Azman Mokhtar di atas sumbangan ke Khazanah dan negara. – MalaysiaGazette