Calon PKR Zawawi Ahmad Mughni bertemu dengan salah seorang pengundi di Pusat Pengundian SK Jalan Kebun.

SHAH ALAM –  Calon PKR Zawawi Ahmad Mughni melahirkan rasa gembiranya kerana mengundi di sekolah lamanya di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun.

Sebagai anak jati kawasan itu, Zawawi, 48 tahun gembira apabila sekolah berkenaan menjadi tumpuan media  yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Sungai Kandis.

“Pagi ini alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, tempat saya bersekolah dulu dan sejarah tercipta hari ini ramai orang datang untuk menemubual calon di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi. 

Beliau yang hadir bersama-sama isterinya Hazlina Abdul Razak berharap  pengundi di DUN ini keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih wakil rakyat.

Zawawi turut memaklumkan selain isterinya, seorang lagi anaknya yang berusia 23 tahun juga akan mengundi di SK Jalan Kebun hari ini.

 Zawawi berdepan dengan dua lagi pesaingnya iaitu Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas K. Murthy. – MalaysiaGazette