KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menjual kapal layar mewah, The Equaminity bagi mendapatkan semula wang yang didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan membuat penilaian awal untuk mengetahui jumlah sebenar aset kapal tersebut.
“Daripada kita membiarkan kapal layar tersebut dan perlu membayar kos penyelenggaraan selain melihat nilai aset itu semakin berkurangan, kita mahu nilai terbaik kapal layar itu.
“Selepas dilihat, saya fikir kita perlu menjual kapal layar tersebut sekurang-kurangnya rakyat negara ini mendapat manfaatnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau diminta tentang perancangan masa depan kerajaan sebaik The Equaminity tiba di negara ini esok.
Guan Eng menambah, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada orang ramai untuk melihat sendiri kapal layar mewah yang berharga RM1 bilion.
Jelas beliau, pada masa sama, Pejabat Peguam Negara akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung isu ini esok. – MalaysiaGazette