Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berhasrat melepaskan jawatan dalam Kabinet dan Ahli Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerusi parlimen mana yang akan ditandingi Anwar selepas menang jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam akan ditentukan kemudian.

“Tidak (lepas semua jawatan). Insya-Allah akan kekalkan (semua jawatan).

“Kerusi parlimen Anwar akan ditentukan kemudian,” katanya ketika ditemui pihak media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada akan memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen Pandan sebagai persediaan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, laporan media menyebut Anwar akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh beberapa bulan selepas mendapat pengampunan diraja.

Pengampunan tersebut membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali aktif berpolitik tanpa syarat.

Mengulas kemenangan Anwar semalam, Wan Azizah melahirkan kesyukuran atas kejayaan Anwar sebagai Presiden PKR yang baharu tanpa bertanding. – MalaysiaGazette