KUALA LUMPUR – Seorang pengguna Facebook membidas Datin Marina Mahathir ekoran sikapnya yang mahu agar hak kesamarataan diberi kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Pengguna laman sosial berkenaan yang juga seorang doktor perubatan, Dr. Nur Ilyani Mohamed menerusi statusnya turut mengemukakan beberapa persoalan berhubung tindakan Marina yang dibimbangi akan mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan perbuatan songsang.
“Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.
“Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?
“Sehingga kini, walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan? soalnya.
Nur Ilyani turut melemparkan pertanyaan kepada Marina sekiranya beliau bersetuju darah yang didermakan oleh golongan LGBT diberi kepada salah seorang ahli keluarganya jika memerlukan.
Sebagai pengetahuan katanya, golongan LGBT tidak dibenarkan mendermakan darah disebabkan gaya hidup yang berisiko.
Katanya lagi, sekiranya diberi peluang untuk melaungkan hak, adalah lebih baik memilih dalam suasana yang aman damai serta bebas dari gaya hidup songsang dan segala penyakit bawaan.
“Kami juga punya hak untuk memastikan pemikiran anak-anak kami dan sanak saudara kami terselamat daripada terjerumus ke dalam pemikiran dan perbuatan songsang ini.
“Akhirnya, jika kalian rasa itu bukan satu dosa dan itu adalah hak peribadi, maka buatlah tapi pastikan kalian bukan berada di bumi Tuhan!,” tegasnya.
Pada awal bulan lalu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu akidah Marina Mahathir disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) gara-gara pandangannya terhadap LGBT.
Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor menegaskan, anak kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat semakin terpesong kerana dilihat menyokong aktiviti songsang itu di negara ini. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2017/08/01/jmm-dakwa-marina-mahathir-ibu-kepada-lgbt/