Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebenarnya jauh lebih membebankan rakyat kelak.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan (BN), kegembiraan kononnya selepas ini boleh makan di mana-mana restoran makanan segera kononnya jauh lebih murah selepas pemansuhan GST adalah tidak benar sekali.

“Semalam, Yang Berhormat Jelutong mendakwa selepas pemansuhan GST sifar peratus, makan di KFC tiada cukai.

“Benar ketika ini KFC atau mana-mana tempat makanan francais tidak kenakan cukai kerana tiada cukai lagi ketika ini.

“Tapi beliau silap. Selepas pelaksanaan SST kelak, ianya jauh lebih mahal. Makanan yang di jual di situ sudah dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus. Kemudian anda membeli makanan dengan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus pula. Campur kedua-duanya, sudah jadi 16 peratus.

“Bak kata orang di luar sana, SST bersamaan dengan ‘Senyap Senyap Tambah’ atau ‘Slow Slow Tipu’. Jangan terlalu gembira,” katanya.

Tambah Ahmad, setiap barang import juga akan dikenakan cukai perkhidmatan dan cukai jualan.

Jika anda servis kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus untuk barangan di situ, ditambah pula dengan servis perkhidmatan enam peratus.

“Pergi ke hotel pula, sebahagian barang-barang hotel sudah ada cukai jualan, campur pula dengan cukai perkhidmatan. Kemudian ditambah lagi caj servis antara satu hingga 15 peratus.

“Caj servis ini selalunya sebagai ‘tips’ untuk pekerja hotel tetapi segelintir tempat ianya diambil oleh syarikat atau restoran itu sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dibentangkan dan dibaca buat kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Ahmad yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, rata-rata anak muda yang menggunakan kad prabayar telefon juga hanya tunggu masa harganya dinaikkan dalam masa terdekat.

“Kepada anak-anak muda yang ada kad prabayar, bersedialah tunggu kad prabayar anda itu naik harga dengan cukai-cukai yang dikenakan kelak.

“Jika sedemikian, pasti akan mengamuk dalam sosial, saya minta anda ‘bantu’ kami dalam Pakatan Pembangkang untuk ‘membantai’ sekali inisiatif PH yang cuba bantu kurang bebankan rakyat tetapi sebenarnya ia tidak berlaku,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad juga menyoal relevan dan rasional bagaimana kerajaan dilihat seolah-olah ‘berlembut’ apabila  mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus sahaja untuk aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda.

“Mengapa tidak naikkan sahaja cukai enam peratus kepada 20 atau 30 peratus? Lagi baik naikkan atau kenakan cukai tinggi supaya orang berhenti pergi ke tempat sebegitu.

“Tempat-tempat seperti kasino, judi, kelab malam atau persendirian itu patut dinaikkan harga,” tegasnya. – MalaysiaGazette